1.0
PENGENALAN
ISU
Profesion
perguruan adalah suatu profesion yang mulia, dihormati dan disanjungi. Guru
merupakan seorang yang akan dikenang jasanya oleh anak didiknya hingga ke
akhirnya. Ia adalah suatu profesion yang mempunyai etikanya tersendiri di mana
guru dianggap segala-galanya. Guru ibarat pakar rujuk dalam setiap bidang dan menjadi
orang yang dihormati serta disegani dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, profesion
perguruan abad ini tidak terlepas daripada isu-isu hangat yang diperkatakan
seperti isu penyalahgunaan dadah, salah laku seks, rasuah, salah guna kuasa,
mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu yang diperkatakan menjadi semakin
bertambah hari demi hari yang menampakkan keburukan serta kepincangan yang
mencalar profesion perguruan itu sendiri walaupun ianya berpunca dari individu
tertentu yang bergelar guru.
Isu
kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu perkara yang diperkatakan dan boleh
menjadi sesuatu yang besar. Tidak banyak definisi isu yang dapat dinyatakan
namun menurut satu laman web (artika.com), isu adalah suatu masalah yang
dikedepankan atau diperkatakan untuk ditanggapi oleh orang ramai. Ia juga
merupakan suatu berita yang tidak jelas asal usulnya dan tidak terjamin
kebenarannya.
Dalam
era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang
haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan
nilai-nilai murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang
individu tersebut. Etika ditakrifkan sebagai “satu cabang ilmu pengetahuan yang
berurusan dengan apa yang baik dan tidak baik dan dengan kewajiban dan
tanggungjawab moral” (Harold Koontz & Heinz Weihrich – Pengurusan
terjemahan Mohd Salmi Mohd Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar – DBP).
Istilah
etika atau ethic berpunca daripada
perkatan Greek ‘ethos’ yang bermaksud perwatakan atau keperibadian. Mengikut
pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat
atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam pula menyatakan
etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tingkah
laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak.
Ia
juga merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak atau tingkah
laku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem dasar meliputi aspek-aspek
moral yang baik atau buruk serta betul atau salah sebagai panduan kepada
ahli-ahli. Dalam kehidupan manusia memerlukan satu sistem atau panduan untuk
menentukan mereka bertingkah laku. Perkara ini mendasari perkembangan etika
dalam masyarakat tersebut.
Menurut
sarjana barat, J.L. Mackie beliau mentakrifkan etika sebagai disiplin yang
dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan
garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorag. Menurut A.R.
Licey dan W.L. Reese, etika dikatakan sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang
melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan
seseorang atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Dari sudut
pandangan ahli falsafah, etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu
kepada nilai dan kelakuan manusia.
Etika
juga dikatakan menggariskan semua panduan yang bertujuan meningkatkan tahap
kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan
terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan
nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Skop Etika Profesional
mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar
peribadi. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang
bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
Oleh
itu berdasarkan pengertian di atas, jelas bahawa etika berkaitan dengan
pembuatan keputusan bagi semua jenis tindakan di mana tindakan-tindakan
tersebut membawa seseorang untuk berinteraksi dengan orang lain secara
berprotokol, sempurna, berhemah dan berkesan. Di samping itu juga, etika
melihat secara khusus mengenai tingkah laku manusia yang dikira patut atau
tidak patut dilakukan selaras dengan norma-norma dan nilai-nilai yang diterima
oleh semua masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Guru
perlu mempunyai sahsiah yang tinggi dan memberi komitmen yang tinggi terhadap
tugas sebagai pendidik yang baik. Media massa banyak melaporkan pelbagai kes
dan isu seperti guru memukul murid, guru menerima rasuah, guru pecah amanah,
cikgu cabul murid dan sebagainya yang menarik perhatian umum serta menguji
kredibiliti profesion perguruan. Namun kes-kes seperti ini semakin meningkat
setahun demi setahun. Berdasarkan pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan
keguruan ini, maka saya telah memilih satu artikel yang bertajuk “Guru
menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan”. Saya
berpendapat bahawa isu ini melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar
etika profesion perguruan.
Fenomena
masyarakat yang bekerja sambilan merupakan perkara asas yang jarang
diperkatakan. Namun ia bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat
termasuk di kalangan guru pada hari ini. Guru-guru di Malaysia umumnya tidak
diketahui secara jelas sejauhmana seriusnya mereka terlibat dengan aktiviti
pekerjaan sampingan. Bahkan, untuk mengetahui statistik sebenar golongan yang
bekerja sampingan, ia tidak mudah untuk diperolehi disebabkan kebanyakan mereka
yang terlibat tidak bersedia untuk membuat pengakuan atas alasan-alasan yang
tersendiri. Walaubagaimanapun, fenomena ini dapat dilihat di kebanyakan sekolah
berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan oleh guru-guru sendiri di sekolah
masing-masing. Kerja sampingan merupakan istilah yang membawa maksud seseorang
yang melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menambahkan pendapatannya walaupun
memiliki kerjaya utama.
Guru
merupakan golongan profesional yang diberi peranan penting sebagai agen
perubahan dalam masyarakat. Menurut Noriati et. al. (2010), guru yang komited
diperlukan untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran yang
berkualiti dan berpegang teguh dengan strategi-strategi akauntabiliti yang
berkesan. Guru sebagai kakitangan sekolah pula harus memberikan sepenuh
komitmen kepada pihak pentadbiran bagi melancarkan urusan berkaitan pengurusan
sekolah selain memberikan sokongan padu dalam merealisasikan visi dan misi
sekolah yang telah digariskan (Abdullah Sani et. al. 2007).
Komitmen
guru menjadi salah satu faktor yang penting dalam menentukan kejayaan perubahan
sesuatu dasar dan agen pendidikan yang dirancang. Malah ia bukan sekadar ketika
berada dalam waktu bertugas di sekolah, malah pada bila-bila masa. Selain
menjalankan tugas pengajaran dan pembelajaran, bidang tugas guru turut
merangkumi pelbagai perkara yang berkaitan dengan bidang pengurusan akademik
termasuk penglibatan dalam pengurusan kokurikulum, pengurusan kebajikan murid,
terlibat dalam mesyuarat serta menghadiri kursus dan sebagainya (Burnham,
2011). Keadaan itu telah memperlihatkan kepelbagaian tugas seorang guru dalam
dunia pendidikan yang sentiasa wujud perubahan seiring dengan keperluan semasa
(Mohamad Najib, 2004).
Walaubagaimanapun,
sebagai seorang manusia guru tetap memerlukan masa yang perlu diluangkan untuk
menguruskan hal-ehwal peribadi sama seperti individu lain (Lambert, 2003). Ini
merupakan hak guru melakukan semua perkara untuk kepentingan dirinya di luar
waktu bertugasnya di sekolah. Selain melakukan tugas peribadi, mengurus
keluarga atau terlibat dengan sebarang aktiviti komuniti setempat, terdapat
dalam kalangan guru yang mengambil inisiatif melakukan sesuatu yang dapat
menambahkan pendapatannya dengan melakukan kerja sambilan. Terdapat pelbagai
faktor yang menyumbang kepada situasi ini di mana kesan-kesan yang wujud
daripadanya menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen guru-guru yang terlibat.
Menurut
Mariatin (2009), oleh kerana kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung
kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan maka, seharusnya
tidak ada sebarang halangan yang dapat menyumbang kepada kegagalan guru dalam
memberikan komitmen kepada organisasinya. Ini disebabkan komitmen semua guru
diperlukan bagi memastikan pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan jayanya
kerana guru adalah sebahagian daripada kakitangan yang menggerakkan organisasi
sekolah bagi mencapai misi dan visi yang selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (Abdullah Sani, 2005).
Kerja
sambilan merupakan istilah yang diadaptasi daripada perkataan Bahasa Inggeris
iaitu ‘moonlighting’ di mana perkataan ini pada asalnya diambil daripada perkataan
‘moonlight’. Menurut kamus Oxford (2011), kerja sambilan membawa maksud
seseorang yang mempunyai pekerjaan kedua di mana kebiasaannya dilakukan pada
waktu malam secara rahsia sebagai tambahan daripada pekerjaan utamanya. Kemudian,
Pere (2007) dan Betts (2002) menyatakan istilah ‘moonlighting’ ini seerti
dengan istilaah ‘second job’, ‘part-time job’, ‘dual job’, ‘multiple job’ dan
seumpamanya. Kesemua ini bermaksud bahawa seseorang yang bekerja sambilan
secara separuh masa namun pada masa yang sama mempunyai pekerjaan lain yang
utama di mana ia dilakukan secara sepenuh masa.
Idea
ini selari dengan Champion (2010), Michael (2010) dan Betts (2006) yang
menyatakan ‘moonlighting’ di dalam Bahasa Melayu adalah kerja luar yang
bermaksud mempunyai dua pekerjaan atau lebih separuh masa serta pekerjaan
tambahan ini berlaku kepada seseorang yang memiliki sesebuah kerjaya yang
menjadi pekerjaan utamanya.
Azanza
(2000) pula berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu cara untuk
memperolehi pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap. Di
samping itu beliau turut menyatakan kerja sambilan itu merangkumi seseorang
yang bekerja sendiri seperti menjadi perunding, mengajar kelas malam, membuat
pelaburan selain menjadikan hobi dan kemahiran yang dimiliki sebagai cara untuk
menambahkan pendapatan.
Berdasarkan
kepada definisi dan konsep kerja sambilan yang telah dihuraikan di atas, isu
ini memfokuskan kepada guru yang terbabit dengan sebarang kegiatan atau
aktiviti yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan semasa berada di dalam
kawasan sekolah atau sebaliknya pada bila-bila masa (Parham, 2006). Keadaan ini
sama ada bekerja separuh masa secara makan gaji di tempat lain selepas waktu
mengajar, menjalankan perniagaan sendiri dengan menjual produk atau sebagai agen
jualan, penyediaan sesuatu perkhidmatan, memiliki syarikat perusahaan sendiri
atau usahasama dengan keluarga atau sebarang sumber yang dapat menambahkan
pendapatan mereka walaupun aktiviti berkenaan dijalankan secara kecil-kecilan.
2.0
PERKEMBANGAN
HUJAH
Isu
berkenaan guru yang bekerja sambilan ini bukanlah satu trend atau khusus di sesebuah tempat malahan di mana-mana tempat
dan organisasi akan wujud kakitangan yang melakukan pekerjaan sampingan.
Walaupun faktor kewangan dilihat lebih dominan dalam kalangan guru yang
melakukan kerja sampingan (Livanos & Zangelidis 2008, McClintock et. al.
2004), Robinson & Wadsworth (2007) menyatakan ia bukan disebabkan masalah kewangan
atau menerima gaji yang rendah daripada pekerjaan utama semata-mata. Sebaliknya
terdapat juga pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada seseorang itu
mengambil keputusan untuk melakukan pekerjaan sambilan yang merangkumi faktor
peribadi dan faktor kerjaya (Betts 2002).
Menurut
Betts (2002), dalam laporannya menyatakan salah satu faktor daripada pekerjaan
sampingan itu dilakukan adalah kerana faktor peribadi. Pandangan ini juga turut
diselari dengan para pengkaji yang lain di mana kerjaya sampingan yang
dilakukan itu tidak berkaitan dengan faktor kewangan dan tidak dipengaruhi oleh
unsur lain selain atas kehendak diri sendiri semata-mata. Kebanyakan mereka
yang bekerja sambilan juga didapati sangat menyukai untuk melakukannya tanpa
terikat dengan faktor kewangan (Hipple, 2010).
Dickey
et. al. (2011) dan Betts (2002) berpendapat seseorang yang menjalankan kerja
sampingan adalah disebabkan oleh faktor peribadi iaitu untuk memenuhi minat serta
mengisi masa lapang di luar waktu bertugas mereka. Bahkan wujud dalam kalangan
mereka untuk memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya di mana ia tidak
diperolehi daripada pekerjaan utamanya (Dickey et. al. 2011, Panos et. al.
2011) dengan melakukan sesuatu pekerjaan lain yang diminati.
Winters
(2010) dalam kajiannya mendedahkan, walaupun seseorang itu melakukan pekerjaan
sampingan tetapi ia bukan atas alasan kewangan walaupun memperolehi pendapatan
kecil daripada kerjaya utamanya seperti mana yang dijelaskan oleh Hipple
(2010). Malahan kajian ke atas guru menunjukkan majoriti daripada mereka yang
terlibat mengakui mereka tetap akan melakukan pekerjaan sampingan walaupun
tangga gaji mereka sebagai guru dinaikkan (Pearson et. al. 2001). Keadaan ini
menunjukkan mereka sememangnya menyukai dan gembira dengan kerja sampingan yang
dilakukan (Renna & Oaxaca 2009) walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang
di luar waktu bekerja.
Selain
itu, seseorang yang menjalankan pekerjaan lain selepas waktu bertugas adalah
bagi meningkatkan bakat dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai minat
mendalam terhadap aktiviti sampingan yang dilakukan. Hipple (2010) berpendapat
pekerjaan sampingan yang dilakukan seseorang adalah sebagai cara untuk membina
kemahiran baru dan menimba pengalaman lain yang berbeza daripada pekerjaan
utama sedia ada yang dimiliki (Dickey et. al. 2011, Renna & Oaxaca 2009).
Terdapat
juga dalam kalangan individu yang melakukan kerja sampingan bagi membina
rangkain hubungan sosial dengan rakan baru (Betts 2002). Salah satu tujuannya
adalah untuk mengenali seseorang yang dapat membantunya mencapai sesuatu yang
diingini seperti peluang pekerjaan baharu (Pere 2007). Kesemua alasan-alasan
berbentuk peribadi ini memperlihatkan mereka melakukan kerja sampingan adalah
atas dasar sukarela dan merasa bahagia melakukannya (Hipple 2010, Averett 2001)
walaupun menyedari pelbagai kesan yang akan dihadapi daripada tindakan
melakukan pekerjaan sampingan.
Kebanyakan
pengkaji mengatakan bahawa faktor ekonomi atau kewangan merupakan penyebab
utama kepada seseorang itu melakukan kerja sampingan (Dickey et. al. 2009)
termasuklah dari kalangan guru. Walaupun mempunyai pendapatan daripada
pekerjaan utama sebagai guru secara sepenuh masa, terdapat juga di kalangan
mereka yang melakukan pekerjaan sambilan bagi mengatasi masalah kewangan yang
dihadapi.
Hipple
(2010) berpendapat bahawa mereka yang memiliki kerjaya lain yang mendatangkan
pendapatan adalah berpunca daripada faktor kewangan sebagai sebab utama. Beliau
turut menyebut keadaan ini adalah disebabkan mereka mempunyai beban tanggungan
hutang atau pinjaman yang perlu dijelaskan sama seperti mana yang dilaporkan
oleh Verma (2008) dan Averett (2001). Laporan daripada Parham (2006) juga
menyebutkan faktor penyebab guru menjalankan kerja sambilan adalah kerana
masalah kewangan dan ianya sukar untuk dihentikan setelah terlibat dengan
aktiviti bekerja sambilan walaupun mengetahui terdapat kesan di sebaliknya.
Keinginan
untuk meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dengan memperolehi
pendapatan tambahan telah menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk
bekerja sampingan. Kenyataan ini selari dengan Hyder & Ahmed (2009),
Guanglia & Kim (2004), Kimmel & Conway (2002) dan Partridge (2002) yang
mengemukakan alasan gaji atau pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama
menjadi punca kepada seseorang itu melakukan pekerjaan sampingan.
Terdapat
kajian yang menunjukkan individu menjalankan kerja sambilan adalah disebabkan
faktor kerjaya. Keadaan ini bermaksud seseorang itu menjalankan kerja sampingan
atas tuntutan yang berhubung dengan kerjaya mereka sendiri (Dickey et. al.
2009), untuk menimba pengalaman baharu (Dickey et. al. 2011), memperolehi
pengetahuan bagi memperkukuhkan kerjaya pada masa depan dan sebagai satu cara
bagi meninggalkan kerjaya perguruan (Henderson 2000) atas pelbagai asalan.
Terdapat
pelbagai kerja sambilan yang dilakukan oleh guru-guru pada masa kini. Ada
antara mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi penceramah dalam
sebarang khusus atau seminar, berniaga di pasar-pasar malam, MLM, memandu teksi
malah ada antara mereka yang mungkin turut terlibat dengan pekerjaan jenayah
yang menyalahi undang-undang negara. Jesteru, fenomena guru menjalankan kerja
sambilan telah mendapat perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM). Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak kementerian telah mengeluarkan
Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun 1999 mengenai penglibatan pegawai
dan kakitangan di bawah dalam Pekerjaan Luar. Menerusi surat tersebut, Ketua
Jabatan telah diberi kuasa meluluskan permohonan dan membuat pemantauan
terhadap mereka yang berkenaan.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak
aduan yang telah diterima dan dibangkitkan sama ada di media cetak mahupun
elektronik mengenai salah laku pegawai yang terlibat sebagai guru tuisyen
mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka telah diberi kebenaran atau
tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas hakiki yang
disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan institusi pendidikan
sebagai platform atau medan perniagaan dalam mempromosi khidmat tuisyen
berbayar yang berunsur kepentingan peribadi.
Pada
dasarnya pegawai perkhidmatan awam dilarang melakukan pekerjaan luar atau kerja
sampingan yang mendatangkan sebarang bentuk faedah atau keuntungan sama ada
dalam bentuk upah atau keuntungan. Namun demikian, atas keprihatinan
kementerian terhadap keperluan para murid dalam mendalami ilmu dan menguasai
pembelajaran tambahan, pihak kementerian telah membenarkan para pendidik untuk
membimbing murid melalui kelas persendirian di mana-mana institusi pendidikan
swasta dengan syarat aktiviti yang dijalankan tidak bertentangan dengan
kepentingan dirinya sebagai penjawat awam.
Kebenaran
bersyarat ini adalah sebagai alat kawalan dalaman bagi memastikan aktiviti
tersebut selaras dengan kehendak Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan itu
dikeluarkan adalah untuk memberi garis panduan yang terperinci mengenai
pengendalian dan syarat-syarat khusus kepada pekerjaan luar sebagai guru
tuisyen atau tenaga sambilan bagi anggota Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sebagai
kesimpulannya, kerja sampingan boleh dilakukan oleh guru tetapi pertimbangan
yang sewajarnya haruslah diberikan supaya kerja sampingan tersebut tidak
mengganggu tugas hakiki guru di sekolah. Setiap guru harus secara
bertanggungjawab terhadap tugas sebenar di sekolah dan menjadikan kerja
sampingan benar-benar sebagai sampingan. Guru sebaliknya tidak boleh sama
sekali menjadikan tugas hakiki di sekolah sebagai kerja sampingan.
Namun
demikian, kebenaran ini juga telah disalah ertikan oleh guru dengan melakukan
pekerjaan jenayah sebagai kerja sampingan yang menyalahi undang-undang. Merujuk
kepada laporan berita-berita semasa yang disiarkan melalui media massa,
terdapat pelbagai isu yang melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar
etika profesion perguruan sekarang ini. Antara salah satu isu hangat yang telah
menimbulkan permasalahan serta memberi kesan terhadap profesion keguruan ialah
yang dipetik dari artikel melalui sumber laman web rasmi, Guru Sains disyaki
edar dadah akan digantung kerja (Berita Harian Online: 21 Februari 2010).
Merujuk
kepada laporan akhbar dalam Berita Harian Online melaporkan: ‘Guru Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai
mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung kerja, dipindahkan atau
dibayar separuh gaji. Guru sains tersebut dipercayai mengedar dadah secara
sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.’
Menurut
sumber, guru berusia 31 tahun itu baru
saja berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan
menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan
apabila menerima tempahan dan ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan
jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.
Sumber
itu berkata, Ketua Pengarah Pelajaran,
Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang
dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah
bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan
di negara ini. Menurut beliau juga, pihaknya memandang serius kejadian seumpama
itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana
pihak yang cuba mencemarkan profesion perguruan yang selama ini dipandang
tinggi di kalangan masyarakat.
Berdasarkan
laporan yang dibuat dalam akhbar terkenal itu jelas menunjukkan bahawa guru
tersebut secara terang melanggar etika profesion perguruan dan kod etika
perguruan di Malaysia yang menyatakan bahawa guru perlu mematuhi kod etika
perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru kepada pelajar, ibu
bapa pelajar, rakan sejawat, masyarakat dan negara. Namun dalam kes ini guru
telah membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadi. Dengan ini jelas
menunjukkan sikap tidak profesional guru tersebut yang tidak berfikir dengan
wajar tentang impak negatif yang akan dihadapi sebelum melakukan pekerjaan
sambilan tersebut yang jelas menjejaskan masa depannya serta memburukkan nama
baik profesion perguruan yang sepatutnya disanjung tinggi. Jesteru itu, guru
berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan tatakelakuan
yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan
Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman
gantung kerja kerana guru tersebut telah disabitkan melakukan kegiatan jenayah dalam
penyalahgunaan dadah secara kerja sambilan.
Malahan,
baru-baru ini sudah terdapat isu berkenaan guru melanggar etika profesion
perguruan iaitu bekerja sambilan telah dilaporkan menerusi Berita Harian
Online: 4 Januari 2010 ‘Guru abai
tanggungjawab calar imej profesion perguruan.’ Menurut sumber, beberapa
persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan ‘kerja
luar’ berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan yang
lumayan. Dalam laporan tersebut, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan, Loke Yim Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang
lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu umpama ‘nila setitik rosak susu
sebelanga’. Maka, keadaan ini akan memperlihatkan kesan negatif terhadap bidang
profesion perguruan dimana tindakan guru berkenaan boleh mencalarkan imej
golongan pendidik kerana kebanyakan guru adalah komited menjalankan
tanggungjawab mereka masing-masing.
Tambahan
lagi, isu guru melakukan penyalahgunaan dadah secara sambilan ini menjadi
semakin hangat apabila timbul pula laporan akhbar yang ditulis oleh M Hifzuddin
Ihksan dalam Berita Harian Online melaporkan ‘BETONG: Kegiatan seorang guru dari Semenanjung menjual dadah dan pil
khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini terbongkar apabila
polis menahannya bersama 1,862 pil nospan di sini petang semalam. Ketua Polis
Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas
di sebuah sekolah di Beladin dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar
sekolah sekitar kawasan berkenaan. Suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah
di Beladin sejak tahun lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan
orang tengah.
Guru
yang disebutkan di atas sememangnya mementingkan kehendak dan kepuasan diri
tanpa memikirkan nilai sahsiah dan moral yang sepatutnya dimiliki oleh seorang
pendidik. Selain menggelapkan masa depannya sendiri, tindakan di luar
kewarasannya itu turut memusnahkan masa depan pelajarnya ke arah melahirkan
generasi pengedar dadah yang sepatutnya di jaga dan dilindungi olehnya
sekaligus memburukkan nama atau mencemarkan nama profesion perguruan. Malah
keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej perguruan tetapi turut menjejaskan
kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan guru sebagai
pendidik.
Profesion
perguruan merupakan sebuah profesion yang sangat mulia dan dipandang tinggi
oleh semua golongan lapisan masyarakat. Dengan kesalahan-kesalahan segelintir
guru yang melanggar etika perguruan sesungguhnya telah mencemarkan kemuliaan
profesion itu. Kegagalan sahsiah guru itu adalah kegagalannya secara individu,
namun mungkinkah ianya adalah kegagalan pihak lain yang menyumbang kepada
kesalahan dan pelanggaran nilai sahsiah dirinya sendiri. Jika kesalahan yang
dilakukannya adalah disebabkan faktor kewangan yang mendesak guru tersebut
melakukan kerja sambilan dengan mengedar dadah untuk mendapatkan pendapatan
yang lumayan, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh pihak-pihak tertentu
supaya dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap guru yang lebih
mengutamakan kerja luar untuk kepentingan diri sendiri.
Mungkinkah
perkara ini tidak berlaku jika guru berkenaan dapat mengawal kemahuan peribadi
yang menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa memikirkan keperluan utama
atau dengan tujuan memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya. Jesteru itu,
sebagai seorang guru yang berprofesional harus bijak dalam menguruskan bidang
kerjaya dan peribadi dari segi kewangan serta kecenderungan minat kerana
kebijaksanaan dalam pengurusan ini akan memberi kesan kepada kejayaan
pengajaran guru di dalam kelas. Maka, guru perlu mengenalpasti dan merancang setiap
keperluan dan kemahuan dalam kehidupan mereka bagi menjamin kejayaan dan
kualiti hidup sebagai pendidik.
Kesalahan
individu sering kali dilihat sebagai kegagalan individu itu sendiri, namun jika
diteliti dan diperhalusi terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang
kepada berlakunya gejala sosial seperti melakukan kegiatan penyalahgunaan dadah
sebagai pekerjaan sambilan semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Tanpa
pegangan agama yang kuat, kewarasan akal kadang kala tidak dapat menyekat
kehendak naluri individu itu untuk terus cenderung melakukan kesalahan.
Jika
menurut teori Maslow (1968), kegagalan manusia mendapatkan sesuatu keperluan
yang utama boleh menyumbang kepada seseorang cenderung melakukan kesalahan demi
mengisi keperluan yang dihajatinya. Manakala, teori ini juga turut bertepatan
dengan teori Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Frued (1856-1939)
melihat manusia dilahirkan dengan sifat semula jadi dan tingkah lakunya lebih
kepada naluri kehaiwanan yang hanya dapat dibendung dengan
pengalaman-pengalaman dalam masyarakat dan sosialisasi. Sekiranya pengalaman
ini tiada atau kurang, maka ia cenderung ke arah merosakkan peraturan-peraturan
dalam sesebuah masyarakat.
Fenomena
bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan masyarakat
malah dalam kalangan guru yang bekerjaya pun situasi ini tidak terkecuali.
Faktor kewangan bukanlah satu-satunya punca yang menyumbang kepada penglibatan
guru di dalam aktiviti bekerja sambilan dengan melakukan kegiatan jenayah dalam
kalangan guru bahkan berkait rapat dengan faktor peribadi dan kerjaya mereka.
Walaupun seseorang yang melakukan kerja sampingan tersebut atas kemahuan
sendiri yang menginginkan hidupan yang mewah serta pendapatan yang lumayan,
namun secara tidak langsung keputusan yang dibuat itu bukan sahaja memberi
kesan kepada diri sendiri tetapi juga melibatkan organisasi di tempat kerja
(Betts, 2002).
3.0
IMPLIKASI
HUJAH
Setiap
isu yang timbul atau ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan memberi
implikasi secara langsung atau tidak langsung terhadap diri guru itu sendiri,
pelajar, sekolah, masyarakat dan juga negara. Pembangunan sahsiah seseorang
guru sebenarnya terbentuk sejak kecil lagi bahkan sejak di dalam kandungan
ibunya dan suasana di dalam rumah tempatnya membesar. Peranan keluarga sangat
penting sebagai memainkan peranan utama manakala pembangunan sahsiah di sekolah
hanyalah program sokongan peneguhan dan pengayaan peribadi seseorang.
Pembangunan guru juga bermula dari pembangunan individu dan ia dipengaruhi oleh
beberapa faktor seperti baka dan persekitaran.
Tahap
pendidikan dan penghayatan ilmu membantu perkembangan dan pembangunan sahsiah
ke arah lebih positif. Jika terdapat guru yang mempunyai sahsiah buruk dan
menimbulkan isu yang negatif, pembangunan sahsiah di kalangan guru seolah-olah
tidak berjaya dan ia sesuatu yang membimbangkan memandangkan guru merupakan
golongan yang menjadi harapan untuk membangunkan bangsa dan negara.
Sahsiah
sering dikaitkan dengan peribadi yang ditonjolkan oleh seseorang guru melalui
tindakan atau perlakuannya. Tindakan yang dipilih dapat dilihat sebagai
tindakan yang boleh diterima atau tindakan positif yang merupakan tindakan yang
sejajar dengan jangkaan masyarakat dan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Berita-berita membanggakan yang melambangkan sahsiah positif seorang guru
seperti guru bertindak berani menyelamatkan anak muridnya serta ketabahan guru
menghadapi dugaan dan cabaran untuk mendidik anak bangsa merupakan perkhabaran
yang membuatkan kita kagum dengan profesion perguruan. Namun tindakan negatif yang
tidak melambangkan sahsiah guru seperti isu guru edar pil khayal kena tahan dan
guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan turut menjadi fokus
perbincangan utama media massa dan para penyelidik.
Isu-isu
yang positif mahupun negatif sebegini telah memberi impak yang besar terhadap
profesion perguruan. Isu positif akan meningkatkan semangat dan motivasi para
guru, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta turut mengharumkan persada
pendidikan. Walaubagaimanapun, kewujudan isu negatif telah mula menjadikan
kebanggaan kita terhadap profesion perguruan kini semakin pudar. Malah, pihak
media, penyelidik bahkan masyarakat telah memberikan tekanan dan desakan yang
hebat terhadap pihak warga pendidik, sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia
khasnya.
Isu
guru mengedar dadah secara kerja sambilan adalah antara isu yang melanggar
etika perguruan dan ianya semakin hangat diperkatakan. Ia boleh meninggalkan
kesan yang bukan sedikit terhadap pembangunan sahsiah individu itu sendiri dan
terhadap pembangunan sahsiah golongan guru yang lain. Kesan tindakan itu turut
memberi impak terhadap pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
termasuklah pihak sekolah, Jabatan Pendidikan serta Kementerian Pelajaran
Malaysia. Malahan tindakan guru mengedar dadah menggunakan rangkaian pelajar
sebagai orang tengah akan turut mendatangkan impak kepada pelajar dan keluarga
pelajar tersebut.
Guru
berkenaan telah melakukan satu kesalahan jenayah menyalahgunakan dadah yang
menunjukkan kelakuannya yang dilarang dengan cara yang boleh memburukkan atau
mencemarkan nama baik perkhidmatan profesion perguruan. Kesalahan guru
berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib Peraturan 7 mengikut peraturan
tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan
dan Tatatertib) 1993 dimana Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman
gantung kerja. Malah, berdasarkan laporan akhbar tersebut menyatakan bahawa
guru dipercayai mengedar dadah secara kerja sambilan kerana mahu menjalani
kehidupan mewah. Jesteru itu, kes ini menunjukkan guru tersebut melanggar peraturan
tatakelakuan dan tatatertib iaitu Peraturan 4(2), di mana guru berkenaan membelakangkan
tugas awamnya demi kepentingan peribadinya. Jika disabitkan kesalahaan tindakan
tatatertib akan dikenakan di mana ia bergantung kepada jenis pelanggaran
tatakelakuan seperti tindakan amaran, denda atau lucut hak emolumen, tangguh
pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan penggantungan kerja.
Guru
yang telah melakukan kesalahan jenayah seperti mengedar dadah secara sambilan
ini telah menampakkan sahsiahnya yang sangat rendah dan martabatnya sebagai
guru dikesali kerana seorang guru tidak sepatutnya memiliki sahsiah sedemikian,
bahkan guru antara golongan terpelajar dan berilmu. Sepatutnya, guru memainkan
peranan cuba membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan
bukannya guru sendiri bertindak membekalkan dadah tersebut kepada pihak lain.
Pembangunan sahsiah guru terbabit akan dikategorikan sahsiah yang negatif
walaupun dia seorang guru yang berkaliber dan berjasa. Moralnya akan menjadi
persoalan dan diperkatakan oleh setiap lapisan masyarakat serta mendapat
cemuhan. Segala kebaikan dan bakti yang dicurahkan selama ini akan hilang
begitu sahaja. Malahan, kes pengedaran dadah ini juga merupakan satu kegiatan
jenayah yang boleh membawa hukuman mati dan penjara jika disabitkan kesalahan.
Jika dia dijatuhkan hukuman, alangkah rendahnya martabat seorang pendidik yang
terpaksa menghabiskan masa bersama-sama pesalah lain yang rata-rata bukanlah
dari golongan cendikiawan sepertinya.
Sekiranya
guru berkenaan sudah selesai menjalani hukuman atau berjaya membayar denda yang
dikenakan, isu ini pasti tidak akan berhenti begitu sahaja. Isu dan sashsiah
guru ini akan tetap menjadi tajuk bualan dan dia akan dipandang serong oleh
orang lain. Di sekolah, guru ini tidak lagi dihormati malah mungkin akan
ditakuti oleh pelajar. Rakan sekerja juga berkemungkinan akan mempertikaikan
tugasnya mendidik pelajar dan jika dia sudah insaf, guru ini masih terpaksa
menerima balasan di dunia mahupun di akhirat di atas perbuatannya sekiranya ia
masih diragui serta tidak diberi kepercayaan. Malahan guru-guru dari sekolah
lain juga akan menjadikannya sebagai bualan atau akan menjadikannya sebagai
sempadan dan ingatan terhadap perkara yang sudah terjadi. Masyarakat sekeliling
pula akan turut menjadikan perkara sebegini adalah lumrah di dalam masyarakat
kita dan melabelkan guru tersebut sebagai penjenayah yang boleh membunuh
generasi bangsa. Kesan daripada itu, sahsiah guru yang akan dibina selepas itu
akan menjadi lebih sukar dan dan memerlukan banyak kesabaran untuk melaluinya.
Ia perlulah tabah menghadapinya kerana tindakan yang dilakukan akan
meninggalkan kesan mendalam dan sepanjang hayat.
Selain
itu, kesan buruk seorang guru sebagaimana tertuduh melakukan kes berkenaan
bukan sahaja memburukkan imejnya sebagai guru secara peribadinya, malah
tempiasnya turut dirasai oleh semua guru. Ia seolah-olah menunjukkan
keperibadian guru yang gagal mencerminkan seorang guru yang sebenarnya
sebagaimana yang diaspirasikan oleh Negara. Melalui kod etika guru yang
diperkenalkan, guru bertanggungjawab terhadap rakan sekerja. Namun, perbuatan
jenayah ini diibaratkan telah mengkhianati rakan sekerja lain yang turut menanggung
malu akibat daripada perbuatan rakan mereka yang bergelar seorang guru.
Dari
segi pembangunan sahsiah guru, perbuatan mengedar dadah secara kerja sambilan
yang dilakukannya menyebabkan masyarakat menilai sahsiah guru secara umum
bahawa guru-guru sekarang sudah tidak bersahsiah. Adakah benar bahawa guru-guru
sekarang menjadi guru bukan atas dasar minat dan tanggungjawab, tetapi
disebabkan mahu mendapat sesuatu pekerjaan demi menjamin ekonominya? Adakah
gaji pekerjaan seorang guru tidak mencukupi di sebabkan desakan kewangan,
tekanan hidup dan desakan nafsu kemahuan mengejar pendapatan tambahan yang
lumayan serta menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa mempunyai rasa
bersyukur di atas rezeki yang diperolehi sehingga sanggup melakukan kegiatan
mengedar dadah sebagai kerja sambilan? Guru-guru ini tidak menghayati
sepenuhnya akan tanggungjawab, maksud yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Negara dan kod etika perguruan kerana jawatannya dianggap sebagai sandaran
untuknya mendapatkan sumber ekonomi, bukan atas dasar tanggungjawab.
Isu
guru menjalankan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan yang menyalahi
undang-undang negara ini biasanya ia dilakukan tanpa mengira masa sama ada
setelah tamat waktu kerja rasmi atau dilakukan pada waktu malam dan masa terluang.
Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja mereka
dengan melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan ini sudah pasti memerlukan
tenaga kerja yang maksimum dan akhirnya guru berkenaan yang akan menerima
kesanya. Mereka pasti akan keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan harinya
dalam keadaan yang lesu dan tidak bermaya atau pergi ke sekolah sibuk melakukan
pekerjaan sampingan. Akhirnya segala perancangan pengajaran dan pembelajaran
tidak dibuat dan tugas mengajar dilaksanakan secara ala kadar sahaja, sekadar
melepaskan batuk di tangga. Guru seharusnya menjadikan tugas di sekolah sebagai
tugas utama, kerja luar hanya sampingan sahaja. Namun, agak malang kerana
perkara yang terjadi adalah di sebaliknya. Kerja luar sudah menjadi kerja
utama, sebaliknya tugas mengajar pula yang menjadi kerja sampingan mereka.
Keadaan ini amatlah menyedihkan dan sekiranya ia tidak diatasi para murid akan
turut menjadi mangsa tindakan segelintir guru berkenaan.
Golongan
yang melakukan kerja sambilan ini memberi kesan tumpuan terhadap kerjaya
utamanya sebagai pendidik. Guru berkenaan akan dilihat kurang memberikan
komitmen terhadap tugas seterusnya organisasi mereka iaitu sekolah. Keadaan ini
akan menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang berhubungkait dengan bidang
tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya. Selain itu, kurangnya komitmen
terhadap kerjayanya telah menyebabkaan prestasi menjadi merosot disebabkan
hilang daya tumpuan semasa melakukan tugas. Hyder & Ahmed (2009) menyatakan
individu yang menjalankan pekerjaan sampingan memperuntukkan masa selepas waktu
bekerja utamanya hingga menjejaskan produktiviti dan prestasi mereka sendiri.
Pendapat
ini turut disokong oleh Champion (2010) yang menyatakan mereka yang bekerja
sambilan ini mengalami masalah kekurangan tenaga dan kurang daya keupayaan
sehingga menjejaskan tumpuan untuk menjalankan tugas. Ini kerana guru terbabit
biasanya menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam dan memerlukan tenaga
untuk menjalankan pekerjaannya. Maka, keadaan ini juga akan menyebabkan tahap poduktiviti
berkurangan yang dilihat sebagai satu liabiliti kepada pihak sekolah.
Kesan
yang wujud hasil daripada perbuatan guru tersebut yang melakukan pekerjaan
sambilan dengan mengedar dadah adalah berhubung dengan komitmen mereka terhadap
sekolah sebagai guru dan kakitangan perlu dinilai adakah ia menjejaskan
komitmennya sebagai guru di sekolah terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran, organisasi dan juga profesion. Ini disebabkan kerjaya perguruan
memerlukan komitmen yang tinggi memandangkan guru merupakan agen yang membawa
kepada perubahan bagi sesebuah negara melalui sistem pendidikan yang bersifat
dinamik.
4.0
CADANGAN/RUMUSAN
Berdasarkan
kepada huraian yang dijelaskan berkenaan isu guru melakukan kegiatan penyalahgunaan
dadah sebagai kerja sambilan, saya mencadangkan bahawa setiap guru perlu
mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta boleh dicontohi oleh
murid. Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok,
bersabar, bermurah hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu menguruskan
kehidupan serta kewangan dengan lebih berkesan. Kebanyakan kualiti kecerdasan
dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang diikutinya semasa menjalani
kursus di institusi perguruan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat
kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran
yang berkesan.
Selain
daripada menjalankan tugas di dalam bilik darjah, guru juga perlu sedar akan peranan
lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya, guru diharapkan menjadi
pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukan
sahsiah murid, menjadi kaunselor, pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang
baik dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang terpuji kepada masyarakat.
Sebagai seorang guru perlu membimbing generasi muda kini tentang keburukan
penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri yang bertindak mengherat
pelajarnya ke kancah dadah yang menjadi musuh pembunuh utama negara.
Pada
masa yang sama, guru juga harus sentiasa mengikuti kursus-kursus dan seminar
motivasi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan
Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika profesion
perguruan. Sebagai contoh, guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan
ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan
ini penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi
dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks selari dengan era
globalisasi kini. Oleh kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah untuk
menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan dharapkan dapat membuat
anjakan paradigma kepada budaya yang berasakan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul
Hamid, 1998) demi meletakkan nama negara setanding dengan negara maju yang
lain.
Selain
daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia mempelbagaikan aktiviti dan program kepada bakal pendidik semasa
menjalani kursus latihan di institusi perguruan lagi. Contohnya, mengadakan
bengkel, ceremah, seminar, pertandingan, aktiviti sukan dan sebagainya. Di
dalam program ini guru-guru pelatih akan didedahkan dengan konsep sebenar
berkenaan kod etika dan akauntabiliti keguruan. Penyediaan program dan aktiviti
seperti ini akan melahirkan pendidik negara bangsa yang beretika dan mempunyai
sahsiah yang tinggi.
Di
samping itu, berkenaan isu kegiatan guru mengedar dadah secara kerja sambilan
dengan menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah perlu dipandang
serius oleh pihak berkaitan terutamanya pihak sekolah, pihak berkuasa dan juga
Kementerian Pelajaran. Saya mencadangkan agar guru terbabit dikenakan hukuman
yang berat seperti buang kerja dan tidak dibenarkan untuk memohon sebarang
pekerjaan di bawah perkhidmatan awam kerana tindakan yang dilakukan merupakan
satu kegiatan jenayah yang bukan sahaja mencemarkan imej profesion perguruan
malah dadah adalah merupakan musuh utama negara. Pandangan saya ini adalah
selari dengan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,
yang menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru
terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada
mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Maka,
saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa peraturan dan hukuman sedia
ada yang telah ditetapkan perlu dilaksanakan dengan tindakan yang tegas.
Seterusnya,
sebagai guru terlatih kelak seharusnya menunjukkan penampilan diri sebagai
pendidik dengan mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru juga
perlulah mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara
dengan jelas dan mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika
cemerlang dalam perkhidmatan mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat
dipisahkan. Etiket sosial merupakan perilaku, budi bahasa, kebijaksanaan, imej,
gerak-geri yang elok mengikut kesesuaian semasa berinteraksi dan pergaulan
sehariannya. Guru haruslah berupaya menjadi agen pembangunan dan pembaharuan
dalam masyarakat dengan menampilkan etiket sosial yang disenangi.
Tambahan
lagi, guru merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian walau di mana
mereka berada. Segala tindak tanduknya sering diperhatikan oleh masyarakat
sekeliling. Keadaan ini menjadi satu kewajipan bagi guru-guru mengamalkan
penampilan diri dan menunjukkan contoh akhlak yang baik bagi memelihara
martabat profesion perguruan. Oleh kerana guru ibarat idola dalam masyarakat,
maka guru perlu berupaya menampilkan diri dan mengaplikasikan nilai-nilai
kesantunan agar dapat menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan yang
dihadapinya.
Sebagai
seorang guru iaitu pendidik generasi bangsa perlu sentiasa mendalami diri
dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat mengimbangi pemikiran sedar dan
bawah sedarnya supaya setiap tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan etika
profesionnya yang akan meninggalkan impak ke atas semua pihak termasuklah
dirinya sendiri. Sememangnya banyak isu yang timbul atau ditimbulkan melibatkan
guru dilihat sebagai melanggar etika perguruan seperti isu melakukan kegiatan
menyalahgunakan dadah sebagai pekerjaan sambilan. Etika seorang guru yang perlu
dipatuhi melibatkan tanggungjawabnya terhadap semua pihak yang terlibat
dengannya secara langsung atau tidak langsung. Pelanggaran etika perguruan
sebagai profesionnya akan mengakibatkannya dilabel sebagi individu gagal dan
bersahsiah negatif.
Secara
keseluruhannya dapatlah saya rumuskan bahawa setiap individu telah dilahirkan
dengan sifat-sifat yang baik dan faktor-faktor pembelajaran, nilai, pergaulan
banyak mempengaruhi keputusan yang dibuat. Setiap isu yang timbul melibatkan
guru sebenarnya bukan menunjukkan kegagalan guru secara keseluruhannya, namun
ia hanyalah kegagalan guru terlibat secara individu disebabkan kegagalannya
menterjemahkan sesuatu keburukan yang dilakukan akan meninggalkan impak
terhadap dirinya serta banyak lagi pihak yang lain. Kebebasannya untuk membuat
sesuatu pilihan dan keputusan menyebabkannya gagal menginterpretasikannya dalam
keadaan yang betul lantaran wujud gangguan psikologi kawalan luaran yang
menghalangnya daripada membuat keputusan yang terbaik. Semuanya adalah kerana
kekurangan nilai dan moral serta akibat beberapa keperluan asasnya tidak dapat
dipenuhi dengan baik.
salam... good job. belajar rajin2. nanti kalau buat kajian ilmiah harus lebih berintegriti dalam mendapatkan maklumat dan bahan. okay :P
ReplyDeletemohon sertakan rujukan bibliografi sayangggg..
ReplyDeleteHalo semua, saya MRS OLIVIA PHILLIPS
ReplyDeleteAnda memiliki pinjaman mendesak?
Apakah Anda perlu sebuah proyek pinjaman?
Membeli rumah atau mobil?
Untuk membayar utang?
"Investasi Kredit" penawaran
Anda memiliki kesulitan keuangan?
Mereka telah ditolak oleh bank dan ditipu oleh penipu?
Kami menawarkan pinjaman pada tingkat bunga 2%.
kami di sini untuk membuat masalah Anda sesuatu dari masa lalu !!
Silahkan email kami sekaligus, kami menjamin pengobatan segera
Dalam waktu 24 jam tanpa biaya atau beban perusahaan saya membutuhkan pinjaman mendesak.
Hubungi: oliviaphillipsloancompany@gmail.com
Terima kasih telah memilih kami.