1.0
PENGENALAN
Dewasa ini, banyak
perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek yang berlaku di sekeliling
kita. Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan dan pembangunan yang kita
lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan
profesional. Antara bidang professional yang terlibat adalah keguruan,
perubatan, kejuruteraan, perundangan dan lain-lain. Apa yang dimaksudkan dengan
profesional? Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk
kepada ciri- ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara
ciri-ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang
mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah
laku ahli.
Guru merupakan salah
seorang yang profesional. Hal ini bermaksud guru merupakan seorang yang
mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang
diceburi dan mempunyai kod etika yang tersendiri. Merujuk kepada ciri-ciri yang
dinyatakan, profesion keguruan pada hari ini dilihat semakin goyah kerana ada
segelintir guru yang sanggup melanggar kod etika keguruan yang telah sedia
termaktub. Ini terbukti apabila semakin banyak isu mengenai salah laku guru
tersiar di internet dan dada-dada akhbar. Ini sudah tentu akan mengganggu gugat
martabat profesion keguruan sebagai suatu profesion yang mulia. Salah satu isu
salah laku guru yang sering kita dengar ialah isu gangguan seksual.
Perkara ini jelas terjadi apabila kes gangguan seksual
guru lelaki terhadap salah seorang guru wanita yang dilaporkan di muka hadapan
Metro bertarikh 31 Mei 2012. Menurut artikel berkenaan, seorang guru wanita
kini trauma dan mengalami tekanan perasaan yang serius sehingga mahu membunuh
diri selepas mendakwa mengalami gangguan seksual serta dicabul seorang guru lelaki
sekolah yang sama. Gangguan seksual itu didakwa dilakukan sejak tiga tahun yang
lalu oleh lelaki berusia 50-an yang telah mempunyai cucu. Perkara ini berlaku
apabila cinta guru lelaki tersebut ditolak oleh guru wanita berkenaan
menyebabkan guru lelaki berkenaan bertindak memegang kemaluannya. perkara ini
telah menjejaskan seluruh profesion keguruan kita kini.
2.0
PERKEMBANGAN HUJAH
Di Malaysia gejala gangguan seksual di tempat kerja
adalah menjadi satu isu yang semakin mendapat perhatian ekoran pendedahan
daripada pihak mangsa. Namun demikian masalah gangguan seksual kadangkala
dianggap sebagai kes terpencil di dalam masyarakat disebabkan mangsa yang malu,
bimbang dan takut untuk tampil ke hadapan membawa kes tersebut ke muka
pengadilan. Ada juga yang menganggap perbuatan gangguan seksual ini hanya
sekadar usikan dan gurauan teman sepejabat. Menurut Timbalan Menteri
Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, jika persepsi ini
terjadi, usaha membantu mangsa teraniaya adalah sukar (Metro, 2011).
Tiga ratus kes gangguan
seksual telah dilaporkan sejak 2011 (Berita Harian, 7 Julai 2011). Berdasarkan
berita tersebut, sebanyak tiga ratus kes gangguan seksual di tempat kerja
dirujuk dan disiasat oleh Jabatan Tenaga Kerja sehingga Jun tahun 2012 sejak
Kod Amalan Gangguan Seksual di tempat kerja dilaksanakan pada 1999. Timbalan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan menyatakan bahawa secara purata,
sebanyak 30 kes gangguan seksual dilaporkan setiap tahun dan menjangkakan kes
gangguan akan meningkat setiap tahun. Beliau menyarankan penggunaan Kod Amalan
Gangguan Seksual di semua institusi bagi menangani masalah ini.
Oleh yang demikian,
peningkatan jumlah kes yang melibatkan gangguan seksual ketika ini memerlukan
inisiatif dan komitnen nekad penggubalan akta khas berkenaan gangguan seksual
di negara kita perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi menyekat dan mencegah
amalan buruk berkenaan. Perkara ini mendapat
perhatian yang serius daripada Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), N. Siva Subramanian. Beliau mendedahkan
bahawa gejala gangguan seksual di sektor awam berada pada tahap serius. Sehubungan
dengan itu beliau meminta Kementerian Sumber Manusia dan pertubuhan-pertubuhan
wanita memainkan peranan lebih aktif dalam membendung gejala tersebut daripada
berlarutan.
Menurut Abd Rahim Abd
Rashid dalam bukunya Gangguan Seksual, “Gangguan Seksual adalah perlakuan lucah
yang tidak direlakan oleh mangsa. Gangguan seksual adalah suatu keadaan yang
tidak boleh diterima, baik secara lisan, fizikal atau isyarat
seksual, pernyataan yang
bersifat menghina secara tegas, atau
keterangan secara seksual bersifat diskriminasi dibuat oleh seseorang yang
mengganggu pekerja lain, menyebabkan
pekerja tersebut merasa terancam, dihina,dipermalukan, diperbodohkan, dicabul
maruah atau melemahkan situasi suasana kerjanya atau memberi ancaman atau intimidasi di persekitaran tempat
dia bekerja. Adalah penting ditekankan bahawa gangguan seksual bermakna
tingkahlaku seksual yang tidak
diingini dan tidak disenangi oleh mangsa. Ianya juga satu kelakuan seksual yang dilakukan ke
atas penerima tanpa diminta atau dibalas balik oleh penerima.
Gangguan seksual
didefinisikan sebagai perlakuan bercirikan seksual yang tidak diingini atau
disenangi termasuklah secara lisan, perbuatan, visual, psikologi mahupun secara
fizikal. Ini termasuklah perbuatan atau perlakuan yang menyebabkan suatu
gangguan terhadap pekerja di tempat kerja dengan mendesak atau mencemuh mereka
melalui perbuatan, perkataan atau bukan perkataan yang berbaur lucah dan tidak
disenangi. Gangguan seksual merupakan satu daripada perlakuan yang dilarang
atau ditegah sama sekali bagi pegawai awam mengikut peraturan 4A. (1)
Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib, 1993). Mengikut
peraturan tersebut, seorang pegawai awam tidak boleh melakukan gangguan seksual
terhadap orang lain iaitu seseorang pegawai tidak boleh membuat cubaan untuk
merapati orang lain secara seksual. Seseorang Pegawai Awam yang didapati bersalah melakukan
gangguan seksual boleh dikenakan mana-mana satu atau apa-apa gabungan dua atau
lebih hukuman yang berikut, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu menurut
peraturan 38, Peraturan Pegawai Awam:
(a)
amaran
(b)
denda
(c)
lucut hak emolumen
(d)
tangguh pergerakan gaji
(e)
turun gaji
Perbuatan tidak bermoral ini juga sangat serius dan kesalahannya turut
diperuntukkan mengikut Kanun Keseksaan misalnya di bawah Seksyen 354 iaitu
mencabul kehormatan dan seksyen 506 bagi ugutan jenayah. Hal ini telah
membuktikan bahawa kesalahan dan jenayah salahlaku gangguan seksual adalah
perbuatan yang berat dan tidak boleh dipandang ringan. Justeru itu kita sebagai
ahli masyarakat perlu mengambil serius perkara ini dan berusaha mencari jalan
untuk menangani isu ini. Gangguan seksual di tempat kerja bukan menjadi asing
lagi kepada kita sudah terlalu banyak kes dan terlalu lama perkara ini
diperkatakan namun ianya terus berlaku.
Memetik (Berita Harian, 3 Ogos 2012), bertajuk ‘Onar warden terbongkar’, dilaporkan 6
pelajar lelaki di sebuah sekolah berasarama d Kuala Terengganu telah dicabul
oleh waden mereka sendiri. Perbuatan tersebut telah dilakukan oleh seorang guru
lelaki berusia sekitar 29 tahun dari negeri Kedah yang dipercayai telah
melakukan kerja terkutuk tersebut sejak tiga bulan yang lalu lagi. Perkara ini
terbongkar apabila mangsa yang berusia antara sembilan dan empat belas tahun
telah mengadu dan memaklumkan kejadian berkenaan kepada guru kelas mereka
beberapa hari selepas itu. Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada
guru kelas mereka selepas tidak tahan menjadi mangsa kepada warden berkenaan. Guru
kelas mereka yang berang dengan kejadian tersebut lantas melaporkan perkara
terkutuk warden tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
3.0
IMPLIKASI
Menurut Najib Ahmad Marzuki (2003), kesan gangguan
seksual yang ketara dapat dilihat kepada mangsa terutamanya wanita dan
kanak-kanak ialah mangsa akan mengalami masalah rendah diri, menyimpan dendam
dan tercemar maruah dan nama baik. Mangsa juga berisiko tinggi untuk mengalami
penyakit neurosis seperti pening kepala, muntah-muntah, sindrom tidak boleh
tidur dan tekanan perasaan. Perkara ini disokong oleh kisah seorang guru wanita
yang dicabul oleh seorang guru lelaki (Metro, 31 Mei 2012). Menurut artikel
berkenaan, guru tersebut kini mengalami trauma dan mengalami tekanan yang
serius sehingga membawa kepada tindakan dan cubaan membunuh diri. Hal ini
memberi kesan yang sangat besar ke atas diri guru tersebut. Jika perkara ini
tidak dibendung dan tindakan yang diambil, saya percaya perkara ini akan
berlanjutan dan orang terlibat akan melakukan perkara yang sama terhadap orang
lain.
Bertepatan dengan artikel berkenaan juga, gangguan
seksual ini sudah tentu memberi kesan negatif terhadap guru tersebut. Hadijah
Engson (2007), menyatakan bahawa mangsa akan merasa tempat kerja adalah kawasan
yang tidak selamat. Sebagai akibat daripada itu, masalah ketidakhadiran bertugas
pula timbul dan mendatangkan beban kepada organisasi. Menurut beliau lagi,
sudah tentulah prestasi kerja mangsa akan menurun dan menyebabkan mangsa yang
terbabit akan mengambil tindakan yang tidak sepatutnya sebagai contoh mangsa
mengambil tindakan tidak rasional yang boleh mendatangkan mudarat kepadanya
seperti cubaan membunuh diri dan sebagainya ibarat kata pepatah, mendengar
guruh dilangit air di tempayan dicurahkan. Daripada atikel ‘guru wanita trauma
dicabul’ yang dibincangkan, jelas kepada kita bahawa guru tersebut merasa malu
dan tidak selesa untuk mengajar di sekolah berkenaan dan berdepan dengan guru
lelaki berkenaan.
Melihat kepada masalah
gangguan seksual yang semakin meruncing ini, kita percaya perkara ini jika
tidak dibendung akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada banyak pihak
terutamanya kepada mangsa yang terlibat. Antara kesan yang dapat dilihat
daripada permasalahan ini adalah merosotnya prestasi kerja mangsa dan
produktiviti akan terjejas (Utusan Malaysia, 9 April 2011). Menurut Sukarelawan
Persatuan Pergerakan Wanita atau Awam, Dr. Cecilia Ng Choon Sim, mangsa yang
terlibat akan menghadapi kesukaran untuk kenaikan pangkat walaupun
berpengalaman dalam kerja. Hal ini demikian kerana mangsa pada kebiasaannya
akan berhenti kerja dan menjejaskan dasar kerajaan di tempat kerja di samping
tukar ganti pekerja yang tidak dirancang. Hal yang sama juga yang dihadapi oleh
guru wanita yang dicabul. Menurut artikel berkenaan, guru wanita berasa sangat
tertekan dengan apa yang berlaku sehingga memaksanya untuk mengambil keputusan
untuk berhenti kerja.
Jika dilihat dari
perspektif sekolah pula, guru yang terlibat akan menjejaskan produktiviti
organisasi sekolah (Utusan Malaysia, 9 April 2011). Perkara ini berlaku kerana
guru lelaki tersebut telah mencemarkan imej profesion keguruan apabila
diketahui umum. Sebagai akibatnya, masyarakat akan memandang sinis akan
profesion keguruan yang dianggap suci dan tidak yakin dengan kebolehan guru
dalam mendidik anak-anak mereka. Perkara ini telah mencemarkan imej profesion
keguruan. Rasa kepercayaan terhadap profesion ini akan menjadi kurang dalam
kalangan ibu bapa. Sebenarnya perkara ini hanya dilakukan oleh seorang sahaja
tetapi tempiasnya sampai kepada seluruh guru di Malaysia. Bak kata pepatah ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.
Jika perkara ini tidak dibendung dan diambil tindakan, saya percaya sistem
pendidikan negara kita dan profesion keguruan kita tidak akan dihormati dan
dipandang tinggi oleh golongan masyarakat terutama sekali pihak ibu bapa.
Isu gangguan seksual
memang nampak remeh kepada ‘pengganggu’ kerana
mereka beranggapan mereka hanya suka-suka dan tiada niat. Namun demikian, dalam
sesetengah kes, pengganggu memang berniat mengambil kesempatan untuk memenuhi
naluri seks mereka. Siapa yang menjadi mangsa ialah mangsa gangguan seksual itu
sendiri. Berdasarkan cerita seorang guru yang diganggu oleh rakan guru lelaki
(Utusan Malaysia, 31 Mei 2012), guru tersebut mengalami tekanan apabila
terpaksa berdepan dengan lelaki tersebut di sekolah menyebabkan guru tersebut
mengalami tekanan perasaan yang teruk. Perkara ini menambahkan lagi rasa
tekanan dan perasaan emosi terganggu apabila tiada siapa yang menghulurkan
tangan bagi membantu masalah ini apatah lagi menuding jari kepada guru
berkenaan.
4.0
CADANGAN
‘Berat
mata memandang berat lagi bahu yang memikul’. Itulah peribahasa yang sesuai
bagi menggambarkan mangsa gangguan seksual. Sehubungan dengan itu, usaha dan
tindakan yang dilakukan oleh pihak majikan dan kerajaan sahaja tidak cukup bagi
menangani masalah gangguan seksual ini. Oleh yang demikian, simangsa sendri
hendaklah bangun untuk menentang gangguan seksual daripada pengganggunya.
Menurut Dr. Cecilia Ng Choon Sim, sukarelawan Persatuan Pergerakan Wanita, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil
dalam menangani masalah gangguan seksual ini(Mumtaz Hassan,2003). Antaranya
ialah percaya kepada diri sendiri bahawa gangguan seksual bukan disebabkan oleh
kesalahan diri dan berani menyuarakan rasa ketidakpuasan dan serius menyatakan
rasa tidak puas hati kepada pihak-pihak yang melakukan gangguan seksual.
Daripada saranan tersebut jika dilaksankan akan membawa kepada pembasmian
gangguan seksual di negara kita.
Selain daripada itu,
mangsa juga mesti berani melaporkan kejadian gangguan seksual kepada pihak yang
berkuasa dengan segera supaya tindakan tatatertib dan salah laku boleh diambil
dengan segera ke atas pengganggu. Hal ini demikian kerana tindakan segera
adalah lebih mudah bagi mangsa untuk membuktikan dan memberi keterangan tentang
salah laku pengganggu. Perkara ini disokong oleh artikel Berita Harian
bertarikh 9 Februari 2010. Dalam artikel yang bertajuk ‘mangsa jangan diam, malu buat aduan’, mangsa yang berdiam diri
menunjukkan mereka menyetujui perbuatan seumpama itu dan membiarkan gangguan
terus berlaku. Namun harus diingat
bahawa setiap mangsa mempunyai hak untuk bersikap tegas dan memberanikan diri
untuk menegakkan keadilan. Justeru itu, jika perkara ini berjaya dilaksanakan,
saya pasti gangguan seksual ini dapat dihentikan kerana ianya melibatkan maruah
diri.
Menurut artikel dalam Berita Harian bertarikh 23 Februari
2008, satu akta gangguan seksual telah diwujudkan. Hal ini demikian menunjukkan
bahawa kerajaan menunjukkan usaha yang serius dalam menangani masalah ini.
Menurut artikel berkenaan, sehingga hari ini, negara telah memiliki Kod Amalan
Pencegahan dan Penghapusan Gangguan Seksual 1999 yang merupakan satu-satu garis
panduan khusus yang digunakan bagi tujuan menangani masalah gangguan seksual.
Namun begitu kod amalan itu digunakan sebagai garis panduan untuk majikan dan
pekerja sahaja dan tidak mempunyai undang-undang bukan juga akta di bawah
akta-akta tertentu. Perkara 4 dalam Kod Amalan tersebut memperuntukkan bahawa
sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan
sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi
atau fizikal.
Usaha kerajaan bagi menangani masalah gangguan seksual
tidak berhenti di sini dan perkara ini dipandang serius oleh kerajaan.
Sehubungan itu, satu rang undang-undang baru
berkaitan dengan gangguan seksual bagi memperkukuhkan lagi Kod Amalan
Gangguan Seksual telah digubal (Utusan Malaysia, 2001). Perkara ini dijelaskan
lagi oleh Pengerusi kumpulan bertindak terhadap salah laku seksual (JAG),
Zarizana Abdul Aziz. Beliau percaya dengan adanya rang undang-undang baru yang
komprehensif ini perbuatan keji itu dapat dihalang dan dihapuskan. Hal ini
bertepatan dengan matlamat undang-undang ini ialah untuk menghukum pengganggu,
menghalang gangguan tidak sopan serta menggalakkan majikan mengambil langkah
yang sesuai bagi menghalang berlakunya gangguan seksual di masa akan
datang.
.
5.0
RUMUSAN
Daripada isu kes yang dipilih berkenaan dengan gangguan
seksual terhadap seorang guru wanita di sebuah sekolah oleh rakan guru sendiri,
perkara ini mendapat tindak balas dan membuka mata ramai pihak yang menganggap
ini adalah kes-kes terpencil. Gangguan seksual hendaklah dipandang serius oleh
semua pihak dan mereka seharusnya memainkan peranan yang penting dalam
menangani gejala tersebut. Pihak kerajaan, majikan, dan rakan sejawat hendaklah
memainkan peranan dalam membantu menangani masalah gangguan seksual kerana ia bukanlah masalah individu tetapi
suatu gejala yang akan menjejaskan profesion keguruan dan maruah negara.
Selain itu, pada pandangan saya seorang guru yang
mematuhi kod etika keguruan sentiasa berpegang kepada akauntabiliti.
Akauntabiliti merupakan satu tanggungjawab yang dipegang oleh seseorang atau
tanggungjawab terhadap sesuatu. Noriati et al., 2010, menghuraikan
akauntabiliti sebagai satu obligasi untuk memberi penjelasan tentang sesuatu
tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapatkan penjelasan
tersebut. Daripada kes yang dikaji di atas, guru lelaki tersebut tidak
mempunyai rasa tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan itu
sendiri. Guru merupakan individu yang ideal, berstatus dan berkelayakan yang
menyebabkan masyarakat menaruh harapan terhadap guru untuk menonjolkan tingkah
laku yang unggul kepada pelajar. Namun demikian, perkara sebaliknya berlaku di
mana guru telah menunjukkan tingkah laku yang menjijikkan serta boleh
mempengaruhi pelajar untuk melakukan gangguan seksual di sekolah.
Selain itu, individu
yang terlibat iaitu warden tersebut juga perlu memainkan peranan dalam usaha
untuk berubah menjadi lebih baik. Antara cara yang boleh dilakukan adalah
dengan cara sentiasa muhasabah diri tetang apa yang telah dilakukan.
Seterusnya, guru tersebut juga perlu bijak dalam memilih kawan yang mampu
menjadi sifat-sifat ideal sebagai seorang guru. Akhir sekali, guru juga boleh
menyediakan log aktiviti supaya dapat dilaksanaan dengan lebih terancang. Pada
pandangan saya, guru lelaki tersebut bukan sahaja telah melanggar Kod Etika
Keguruan, tetapi juga Kod Etika Perguruan Malaysia. Jika guru lelaki ini
mengambil berat tentang tugasannya sebagai guru, sudah tentu guru tersebut peka
terhadap tanggungjawab yang telah digariskan dan dipaparkan di halaman depan
buku persediaan mengajar.
No comments:
Post a Comment