Saturday, 1 September 2012

Artikel 3: Isu Kerjaya Guru Bukan Pilihan Terakhir



1.0 Pengenalan

Perkataan keguruan diambil dari perkataan dasarnya iaitu guru. Mengikut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh manakala perkataan keguruan pula berkaitan dengan guru, berkaitan dengan peranan (tugas dan kelayakan) sebagai guru. Tugas utama seorang guru di sekolah ialah untuk mengajar dan mendidik para pelajar agar menjadi insan yang berkembang secara menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, intelek, rohani dan sosial selain daripada memberikan ilmu selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


Tanggungjawab yang mengatakan guru adalah “lilin yang membakar diri” masih tebal bukan sahaja dalam masyarakat Malaysia tetapi di negara-negara lain. Peretomede (Ibrahim, 2003) menyatakan kajiannya ke atas remaja Nigeria menunjukkan pendangan yang sangat negetif terhadap profesion keguruan di man lebih 70% responden menyatakan tidak mahu memilih guru sebagai profesion mereka. Pandangan ini lebih ketara bagi responden lelaki di mana 95% dari mereka tidak mahu menjadi guru.                                    
Bidang pendidikan sering menjadi perhatian dan topik perbincangan kerana pelbagai isu sering timbul sama ada berkaitan dengan pendidik, pelajar, dasar pendidikan yang baru digubal, kaedah pendidikan dan sebagainya. Perbincangan mengenai dunia pendidikan tidak terbatas dalam kalangan warga pendidik sahaja malah turut dibincangkan secara meluas sama ada di peringkat pemimpin negara sehinggalah masyarakat di ceruk desa dan pedalaman turut menjadikannya sebagai topik perbincangan.
Antara isu yang sering menjadi topik perbincangan ialah mengenai bidang perguruan yang dianggap sebagai kerjaya pilihan terakhir atau bukan utama jika dibandingkan dengan kerjaya profesional yang lain dalam kalangan mahasiswa. Anggapan mengenai kerjaya dalam bidang perguruan merupakan profesion kelas pertengahan jika dibandingkan kerjaya dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya menyebabkan bidang perguruan menjadi pilihan tidak popular dalam kalangan lepasan sekolah yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Masyarakat juga menganggap bahawa kerjaya dalam bidang perguruan merupakan kerjaya pilihan terakhir sekiranya mereka gagal untuk mendapat tawaran bidang yang diminati atau tidak mempunyai peluang pekerjaan dlaam bidang yang dipelajari semasa di universiiti. Justeru, pilihan yang mereka ada ialah dengan terjun ke dalam dunia pendidikan meskipun tidak berminat dengan kerjaya ini.
 Selain itu, masyarakat turut menganggap bahawa bebanan kerja guru lebih ringan jika dibandingkan dengan kerjaya lain lantaran waktu bekerja yang pendek serta banyak cuti. Sedangkan mereka tidak menyedari bahawa seorang guru sebenarnya dibebankan dengan pelbagai tugas yang memerlukan mereka melakukan kerja overtime tanpa rekod dan tidak mendapat upah untuk kerja tersebut. Selain itu, masyarakat menganggap menjadi seorang guru bukanlah suatu tugas yang sukar hanya masuk ke kelas untuk penyampaian ilmu kepada pelajar sahaja. Malah ada yang lebih eksterim menyatakan bahawa modal yang diperlukan oleh seorang guru ialah modal air liur yang digunakan untuk bercakap.
Justeru, masyarakat dan para graduan yang memilih kerjaya guru sebagai pilihan terakhir perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan tugas seorang guru serta amanah yang dipikul apabila bergelar pendidik. Hal ini merupakan perkara yang sukar kerana tanggungjawab guru boleh diumpamakan sebagai arkitek bangsa. Peranan gurulah yang akan melakar pelan bagi membentuk sesuatu bangsa yang bertamadun. Jadi, sekiranya kerjaya guru dipenuhi oleh golongan yang menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir dan tidak mempunyai kesedaran diri, maka tanggungjawab guru tersebut akan diabaikan atau dilaksanakan secara sambil lewa sahaja.


2.0 Perkembangan Isu
2.1 Faktor kerjaya guru tidak diminati
Lebih kurang empat dekad yang lalu iaitu sekitar awal tahun 60-an, guru merupakan insan yang terpilih untuk memberi sumbangan ilmu dan kemajuan kepada masyarakat setempat. Jasa guru sangat besar dan menjadi agen pemangkin kepada pembangunan negara. Pada masa ini, kaum guru bukan sahaja memberikan ilmu kepada masyarakat malah menjadi panduan dan rujukan masyarakat. Golongan guru pada masa ini sangat dihormati oleh masyarakat serta diyakini dengan kepimpinannya. Malah, ibu bapa menyerahkan kepada guru sepenuhnya untuk mendidik anak-anak mereka dengan baik dan memberi kebebasan kepada guru untuk menghukum anak mereka sekiranya didapati melanggar peraturan dan tidak mematuhi arahan guru.
Namun begitu, persoalan yang sering timbul ialah mengapa pandangan masyarakat mengenai kerjaya guru dan profesion keguruan pada masa sekarang telah berubah. Pada masa dulu, masyarakat memandang mulia kepada guru, sebaliknya profesion keguruan pada masa kini seakan terpinggir dan sudah berada dalam kategori terakhir pemilihan kerja. Seringkali juga para guru menjadi sasaran dan keceman oleh pihak tertentu jika berlaku kepincangan dalam masyarakat. Golongan guru akan dipersalahkan malah terdapat kes yang sengaja diperbesarkan apabila melibatkan seseorang yang bergelar pendidik. Masyarakat sudah tidak memandang tinggi terhadap bidang ini dan tidak lagi menjadikannya sebagai pilihan kerjaya mereka.
Berdasarkan dapatan yang diperoleh oleh Shuib dan Johari (2001) melalui pemerhatian, temubual dan pengalaman, mereka dapati bahawa ada beberapa faktor yang menyebabkan bidang keguruan ini kurang mendapat perhatian masyarakat serta para pelajar lepasan sekolah yang ingin memilih bidang pengajian di universiti. Antara faktor yang disenaraikan ialah profesion keguruan adalah profesion yang statik, kurang masa dan peluang terlalu kecil. Bakhtiar Mansor (1993) mengambil beberapa stastistik mengenai perbandingan peluang kenaikan pangkat di kalangan beberapa profesion utama.
Rajah 1: Peluang Kenaikan Pangkat Berdasarkan Profesion
Selain itu, faktor seterusnya ialah guru terpaksa berhadapan dengan berbagai karenah pelajar yang begitu ramai yang datang dari pelbagai keturunan, adat resam, sosio ekonomi, peringkat umur, masalah disiplin yang perlu ditangani. Malah guru juga perlu melayani karenah ibu bapa, masyarakat, pihak atasan, kerajaan, pertubuhan dan masalah peribadi.
Pembelaan pula kurang dan masih tidak memuaskan hati guru sehingga ada cadangan meletakkan Pegawai Tadbir dan diplomatik (PTD) di bahagian pengurusan sama ada di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah ataupun di Jabatan Pendidikan Negeri.
Wujud profesion lain yang lebih baik hasil dari sistem pendidikan dan kerja keras guru yang mengajar. Profesion seperti dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan perakaunan mendapat tempias apabila ia diisi oleh para pelajar yang mendapat keputusan baik semasa peperiksaan di peringkat sekolah. Justeru, peningkatan peluang dalam profesion lain menyebabkan kerjaya guru semmakin tidak mendapat tempat dalam kalangan pelajar lepasan sekolah khususnya serta masyarakat amnya.
Beban kerja dan kurangnya insentif yang diterima oleh para guru. Masyarakat menganggap bahawa kerja guru mudah, mempunyai masa kerja yang pendek dan banyak cuti. Manakala guru pula merasa beban kerja terlalu banyak sehingga terpaksa di bawa pulang ke rumah untuk diselesaikan. Selain itu, kerja lebih masanya (over-time) tidak dihargai menyebabkan segelintir guru kecewa. Dari sudut insentif pula, guru tidak akan dibayar untuk kerja lebih masa yang dilakukan berbanding bidang lain yang dikira setiap jam apabila kerja lebih masa dilakukan.
Kesimpulannya, faktor-faktor yang dinyatakan di atas telah menyebabkan kerjaya dalam bidang perguruan kurang mendapat perhatian dan tidak diminati serta sering menjadi pilihan terakhir dalam kalangan masyarakat.
3.0 Kesan Isu


Profesion perguruan merupakan satu kerjaya yang mulia dan dipandang tinggi oleh agama dan masyarakat. Tugas utama seorang guru ialah untuk menyampaikan ilmu dan mendidik murid-muridnya agar menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara. Malah, pengertian seorang guru menjadi lebih luas dalam ajaran Islam kerana agama ini sangat menekankan pembentukan akhlak mulia dalam diri setiap insan. Seperti yang kita semua tahu, antara peranan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia iaitu Nabi Muhammad SAW ialah bagi membentuk akhlak mulia. Justeru, di sini dapat kita lihat betapa Allah SWT melihat akhlak manusia sebagai satu aspek terpenting dan tidak boleh dipandang enteng.
Maka, peranan siapa lagi untuk menggalas peranan ini jika buka seorang guru yang merupakan antara insan terhampir dengan kanak-kanak selepas ibu bapa mereka. Apa kesan yang akan berlaku sekiranya guru yang sepatutnya melaksanakan tugas tersebut sebenarnya tidak bersedia dan masih ragu-ragu? Adakah dengan menjadikan bidang kerjaya ini sebagai pilihan terakhir akan menyebabkan guru tersebut menjadi tidak komited dan sambil lewa dalam melaksanakan amanah yang diberikan ini. Jadi, untuk menjawab persoalan-persoalan yang timbul ini, kita akan melihat satu persatu kesan yang timbul apabila guru menjadikan kerjaya ini sebagai pilihan terakhir tanpa mahu mengubah minat dan pandangan terhadap profesion ini.
Isu pemilihan kerjaya guru sebagai bidang kerja yang terakhir telah memberikan pelbagai implikasi kepada guru dan profesion perguruan. Antara kesan yang timbul apabila kerjaya guru dijadikan pilihan terakhir ialah wujud masalah guru yang tidak komited dan sambil lewa menjalankan tugas mendidik yang telah diamanahkan kepadanya. Terdapat guru yang dilantik tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya sambil beralasan bahawa mereka tidak minat dengan kerjaya ini dan terpaksa memilih untuk menjadi guru lantaran tidak mendapat peluang pekerjaan dalam bidang lain.
Sepatutnya, golongan seperti ini tidak perlu memohon untuk menjadi guru sekiranya tidak minat dan tidak bersedia untuk mencurahkan bakti kepada para pelajarnya. Hal ini boleh menyebabkan seorang yang menjadi guru tanpa minat dan bersedia untuk melakukan perubahan positif akan mengakibatkan kesan negatif kepada pelajarnya. Bayangkan berapa generasi yang akan dirosakkan dan tidak mendapat manfaat jika guru seperti ini terus mengekalkan sikap sambil lewa dan tidak bersungguh melaksanakan amanah yang diberi sepanjang tempoh berkhidmat iaitu lebih 30 tahun.
Sekiranya kerjaya guru dijadikan pilihan terakhir, maka lahirlah guru yang kurang maklumat lantaran tidak membuat persediaan untuk melengkapkan diri dengan info yang berkaitan. Sebagaimana yang kita sedia maklum, seorang guru perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai maklumat sama ada berkaitan dengan kerjaya profesionalnya atau isu semasa serta pelbagai isu berkaitan. Hal ini bagi mengelakkan guru menyampaikan ilmu yang salah kepada murid sekiranya ditanya mengenai sesuatu perkara. Apabila guru menyampaikan maklumat atau ilmu yang salah, murid yang menerima akan berpegang kepada ilmu yang salah sampai bila-bila melainkan murid tersebut mendapat maklumat yang lain selepas itu. Sekiranya tidak, maka dia akan berpegang dengan ilmu salah yang disampaikan oleh gurunya.
Di samping itu, kesan lain yang dapat dilihat terhadap profesion keguruan sekiranya seorang guru menjadikannya sebagai pilihan terakhir ialah menyebabkan golongan guru tidak dihormati dan profesion dipandang rendah. Ia berhubungkait dengan guru yang tidak bersedia dan tidak komited menjalankan tugas yang diamanahkan. Oleh yang demikian, ia akan memberikan imej yang negatif terhadap warga guru yang lain akibat kewujudan golongan guru seperti ini. Ia menjatuhkan nama baik profesion keguruan dan para guru yang komited dan bersungguh-sungguh menjalankan tugas mereka.
Perkara ini merupakan realiti yang berlaku dalam kalangan segelintir warga guru pada hari ini yang tidak dihormati oleh masyarakat akibat sikap dan pembawakan diri yang ditunjukkan oleh mereka. Masyarakat tidak tahu sama ada guru terbabit minat atau tidak menjadi guru, tetapi masyarakat tahu bagaimana seseorang guru sepatutnya berperanan. Justeru, apabila guru terbabit tidak berperanan seperti yang sepatutnya, maka ia akan menjadi buah mulut dalam masyarakat dan akhirnya mengundang persepsi negatif terhadap profesion perguruan.
Apabila profesion perguruan dipandang rendah oleh masyarakat akibat sikap guru yang tidak komited melaksanakan tugas yang diamanahkan, maka semakin kuranglah lepasan sekolah yang ingin menjadikan profesion perguruan sebagai bidang pilihan untuk menyambung pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Perkara di atas menunjukkan kesan rantaian yang berlaku terhadap guru dan profesion keguruan apabila terdapat segelintir guru yang menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir untuk pilihan kerjaya mereka.
Kesimpulannya, pada asasnya profesion keguruan sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini dan tidak menjadikannya sebagai pilihan terakhir. Selain itu, profesion keguruan tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat, beriltizam, dan berjiwa pendidik serta menjadikannya pilihan utama sahaja yang layak untuk menyandang gelaran sebagai guru atau pendidik.
4.0 Rumusan/Cadangan
Isu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir merupakan isu yang masih lagi relevan pada masa sekarang dan masih menjadi perbualan terutama dalam kalangan graduan yang bukan lulusan bidang pendidikan. Namun demikian, saya kurang bersetuju dengan pendapat bahawa majoriti guru yang ada menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terakhir walaupun masih terdapat segelintir pihak yang menangguk di air yang keruh apabila menyertai kerjaya guru sebagai bidan terjun kerana tidak mendapat peluang pekerjaan yang diminati.
Perkara ini boleh dilihat menerusi permohonan yang semakin meningkat saban tahun untuk menjadi guru dalam kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Para pelajar ini bersaing sesama mereka semasa membuat permohonan untuk mengikuti kursus perguruan yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) seterusnya mereka berpeluang menjalani Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang dikendalikan oleh pihak Institut Pendidikan Guru (IPG). Permohonan yang semakin meningkat ini menunjukkan bahawa kerjaya guru bukanlah bidang pilihan terakhir yang dipohon dalam kalangan pelajar lepasan sekolah.
Menurut laporan yang diterbitkkan oleh akhbar arus perdana, Berita Harian bertarikh 19 Jun 2008, jumlah yang membuat permohonan ialah seramai 108,394 permohonan dari seluruh negara untuk mengisi 4,726 tempat ditawarkan menerusi enam Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM) pada sesi Julai tahun tersebut. Pemohon terbabit meliputi 152 calon yang memperoleh keputusan cemerlang 12A dalam peperiksaan SPM tahun lalu, diikuti 11A (352), 10A (670), 9A (1,062), 8A (1,428), 7A (2,297), 6A (3,635) dan selebihnya 5A ke bawah.
Selain itu, kerjaya guru juga tidak lagi menjadi pilihan terakhir dalam kalangan masyarakat yang memberi alasan bahawa gaji guru kecil dan tidak mendapat upah yang setimpal dengan kerja yang dilakukan. Hal ini kerana, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan gaji yang diterima oleh guru seperti yang diumumkan semasa pembentangan bajet 2012 baru-baru ini. Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan yang dipetik menerusi (Berita Harian Online, 2012) berkata,  jika dibandingkan negara maju, gaji warga pendidik mereka lebih tinggi berbanding gaji kakitangan awam di kementerian lain kerana guru adalah aset melahirkan modal insan cemerlang.
Guru bukan siswazah menerima kenaikan gaji sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBP. Justeru, alasan bahawa gaji guru adalah kecil menyebabkan para lepasan sekolah tidak berminat menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan utama kerjaya mereka adalah salah dan kurang tepat serta tidak berasas sama sekali.
Selain itu, bidang perguruan telah melahirkan ramai tokoh guru yang disegani di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta melahirkan ramai guru yang komited dan cemerlang. Saban tahun, guru yang menunjukkan peningkatan dalam tugasan dan tanggungjawab yang diamanah akan dipilih untuk dianugerahkan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang bertujuan menghargai usaha yang dilakukan oleh guru terbabit. Menurut Ab. Aziz yang menyandang  jawatan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JPN berkata, APC adalah pengiktirafan kerajaan terhadap kecemerlangan pekerja yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh serta memberi komitmen tinggi dalam meningkatkan kualiti kerja yang dipertanggungjawabkan (Berita Harian, 2012).
Malah menurutnya lagi, pihak jabatan tidak ada sebarang halangan sekiranya guru atau pekerja yang sama dicalonkan sebagai penerima APC asalkan mereka terbukti menunjukkan peningkatan dalam tugasan. Maka, di sini dapat kita lihat bahawa guru yang komited dan cemerlang dalam menjalankan tugas tidak akan lahir jika mereka menjadikan kerjaya guru ini sebagai pilihan terakhir sedangkan mereka tidak berminat untuk menjadi guru sebenarnya. Hal ini kerana guru yang tidak berminat untuk menjadi pendidik akan sambil lewa dalam melakukan tugas yang diamanahkan kepadanya.
Selain itu, melalui isu yang dibincangkan ini, saya juga berpendapat bahawa isu guru yang menjadikan profesion perguruan sebagai pilihan terakhir merupakan kes yang terpencil. Bukan semua guru yang terlibat dalam bidang pendidikan ini menganggap bahawa bidang ini merupakan pilihan terakhir kerana tidak mendapat peluang pekerjaan lain. Hal ini disebabkan ramai guru yang sememangnya bercita-cita untuk menjadi guru dan berbakti kepada anak bangsa. Namun, sekiranya terdapat guru yang menjadikan bidang perguruan sebagai pilihan terakhir dan tidak berminat untuk menjadi guru, ia masih dipupuk secara perlahan-lahan.
Menurut Presiden NUTP (Berita Harian, 2012), kerjaya guru bukan merupakan profesion main-main kerana individu guru perlu minat dan kasih terhadap kanak-kanak. Namun begitu, beliau berpendapat bahawa minat boleh dipupuk dan kecintaan terhadap bidang pendidikan akan datang secara perlahan-lahan asalkan kita ikhlas untuk melaluinya. Beliau juga berpendapat sekiranya perasaan itu tidak dapat dipupuk, maka lebih baik sekiranya guru terbabit tidak menjadikan bidang perguruan untuk melepaskan diri akibat desakan kerjaya.
Bagi mengatasi masalah ini, terdapat beberapa cadangan yang telah dikemukakan oleh Ibrahim Ahmad (2003) supaya bidang perguruan ini dapat berdiri sama tinggi dengan bidang-bidang profesional yang lain. Selain itu, ia juga sebagai penambahbaikan terhadap profesion perguruan itu sendiri agar dapat menghadapi cabaran terutamanya dalam era globalisasi ini. Selain itu, ia juga untuk membetulkan persepsi segelintir masyarakat yang masih menganggap bahawa profesion perguruan ini sebagai pilihan terakhir walaupun hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Berikut merupakan cadangan untuk mengatasi isu ini:
i.   Perubahan Polisi Sistem Pendidikan
Yazid Abd Manap (2001) menyatakan dalam kertas kerjanya, polisi sistem pendidikan yang ada tidak menggalakkan usaha guru memperkembangkan kerjaya mereka. Guru-guru yang memiliki ijazah sarjana muda melalui cara “Pendidikan Jarak Jauh” kurang mendapat pengiktirafan dari pihak kementerian. Ramai guru yang mengikuti program jenis ini kecewa dengan kenyataan pihak kementerian yang tidak akan menjanjikan apa-apa jawatan yang lebih tinggi walaupun guru menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. Ada pula guru yang sanggup berhenti di tengah jalan kerana tiada ada apa-apa peluang yang dijanjikan sedangkan pihak kerajaan menggalakkan guru-guru melanjutkan pelajaran untuk memperbaiki profesion keguruan mereka. Begitu juga halnya dengan guru-guru yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana, tiada apa-apa peruntukan yang diberikan samada hadiah pergerakan gaji (HPG) seperti yang diberikan kepada guru lulusan SPM yang mengambil STPM suatu ketika dulu.
ii.   Pemilihan Calon Guru Yang Benar-Benar Layak
Faktor keupayaan menyesuaikan  diri dengan persekitaran kerja dalam bentuk kesesuaian jenis peronaliiti seseorang dengan persekitaran itu. Apabila jenis personality tersebut tidak sepadan dengan persekitarannya, maka berlakulah punca kepada sikap tidak berminat terhadap kerja mahupun perkembangannya. (Holland, 1973). Sekiranya profesion ini adalah pilihan yang terakhir bagi guru, minat utama terhadap profesion ini sebenarnya hanya sedikit sahaja dan akibatnya selepas 2 atau 3 tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian ‘Burn-out’  terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi.    ( Zahid, 1998 ).
iii.   Mengurangkan Penempatan Guru Sandaran Tidak Terlatih
Kekosongan jawatan guru samada di sekolah rendah mahu pun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan secara formal samada di maktab perguruan atau pun universiti. Kita tidak dapat nafikan mengenai keperluan mengisi kekosongan tersebut atas dasar pendidikan pelajar di sekolah. Tetapi pandangan masyarakat terhadap  profesion keguruan ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila ada sesetangah pihak yang menganggap tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat tertentu, mereka masih boleh menjadi seorang guru.
Sepatutnya, Bahagian Dasar dan Penyelidikan Pendidikan mengambil langkah yang proaktif terhadap masalah yang dihadapi. Lambakan guru-guru sandaran tidak terlatih di sekolah dengan sendirinya akan merendahkan martabat profesion keguruan tersebut.Sepatutnya kekosongan jawatan guru di sekolah menengah diisi dengan kehadiran guru-guru yang telah menamatkan pengajian secara separuh masa atau PJJ yang terlalu ramai di sekolah rendah, manakala di peringkat sekolah rendah ianya diisi dengan guru-guru lepasan diploma dari maktab perguruan.
iv.    Penyertaan Guru Dalam Kesatuan
Mengikut kajian yang dijalankan oleh kesatuan guru ( samada KPPK atau KGMMB ), hampir 60% guru-guru di Malaysia tidak mendaftar sebagai ahli di mana-mana kesatuan guru pun. Ini menunjukkan bahawa guru sendiri tidak berminat terhadap kesatuan yang dibentuk oleh guru untuk kebajikan guru-guru itu sendiri. Segala masalah yang berkaitan dengan bidang perguruan sama ada dari segi perjawatan, ganjaran mahupun kebajikan sepatutnya disalurkan melalui kesatuan dan akhirnya akan disampaikan kepada pihak kementerian supaya diambil tindakan. Sekiranya kesatuan guru senditi tidak mendapat sokongan padu dari kalangan guru sendiri, bagaimanakah nasib guru hendak terbela dan apakah martabatnya profesion keguruan tersebut.

1 comment:

  1. Thanks atas perkongsian. Teruskan untuk berkongsi maklumat bermanfaat. Cikgu pastinya sudah mendapat penempatan pada 2013 ni kan. Boleh update perkembangan kerjaya cikgu di blog juga

    ReplyDelete